Warga kota berpeluang menyaksikan perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang secara langsung menerusi skrin video matrik gergasi di Dataran Merdeka di sini, petang esok.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail berkata, perlumbaan pada 4 petang itu boleh ditonton menerusi skrin LED baru berteknologi tinggi bernilai RM8.7 juta dari Korea Selatan.
Paparan skrin definisi tinggi (HD) berukuran 11.777 meter x 6.653 meter (37 kaki x 261 inci) dengan kadaran format digital 16x9, menggantikan skrin lama bersaiz 9.856 meter x 7.392 meter yang sudah berusia 10 tahun, katanya pada sidang media selepas pelancaran skrin itu di sini, hari ini.
Ahmad Fuad berkata, penggantian skrin itu dilaksanakan secara perjanjian enam tahun dan opsyen tambahan empat tahun antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan syarikat elektronik dari Korea, Optica Fibre Technologies MSC Sdn Bhd.
"DBKL tidak perlu membayar sebarang kos bagi skrin itu kerana semua kos termasuk pembekalan, penyelenggaraan, pengendalian dan operasi dibiayai sepenuhnya oleh Optica Fibre Technologies melalui penjanaan pendapatan menerusi tajaan serta pengiklanan korporat,” katanya. – Bernama
No comments:
Post a Comment