PASUKAN Red Bull meneruskan dominasi pada saingan Grand Prix F1 Malaysia apabila pelumba sensasi yang juga penyandang juara dunia, Sebastian Vettel mengungguli perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam sekali gus mempertahankan kemenangannya di litar sama pada tahun lalu.
Vettel yang mengungguli perlumbaan pembuka tirai di Litar Albert Park, Australia, dua minggu lalu, meraih kemenangan selesa selepas tidak dicabar barisan pelumba lain sejak dari petak permulaan sehinggalah ke garisan penamat.
Pelumba sensasi Jerman itu yang memulakan perlumbaan di petak pertama tiba di garisan penamat dengan catatan masa 1 jam 37 minit 39.832 saat, meninggalkan bekas juara dunia 2009, Jenson Button dari pasukan McLaren Mercedes, kedua dengan catatan 1:37:43.093s.
TAHNIAH…Najib menyampaikan trofi kepada Vettel (tengah) selepas memenangi Grand Prix F1 Malaysia di Litar SIC, semalam. Tempat kedua dimenangi Button (kiri) dan ketiga Heidfeld.
Sementara pasukan Lotus Renault terus konsisten meraih kemenangan podium apabila menyambar tempat ketiga menerusi Nick Heidfeld selepas rakan sepasukan Vitaly Petrov melakar kejayaan sama dua minggu lalu di Australia.
Pada perlumbaan yang berlangsung dalam cuaca mendung itu, Vettel nyata terkejut kerana berjaya meninggalkan pelumba lain sejak awal perlumbaan.
Pada perlumbaan yang berlangsung dalam cuaca mendung itu, Vettel nyata terkejut kerana berjaya meninggalkan pelumba lain sejak awal perlumbaan.
“Saya bermula dengan baik tapi agak terkejut apabila melihat di cermin sisi barisan pelumba lain agak ketinggalan. Melihat situasi itu, saya mula fikir ia satu kelebihan selepas berjaya menjarakkan diri daripada pemandu lain dan selepas itu, saya terus memecut selaju yang mungkin. Dengan cuaca tidak menentu hari ini, sudah tentu ia perlumbaan yang agak sukar dan mengelirukan kami dalam membuat keputusan tepat terutamanya mengenai pemilihan tayar,” katanya.
Rakan sepasukan Vettel, Mark Webber pula menamatkan perlumbaan di tempat keempat manakala Ferrari terus gagal memberi impak apabila dua pemandu mereka, Fernando Alonso serta Felipe Massa hanya menduduki tempat kelima dan keenam.
Pelumba McLaren Mercedes, Lewis Hamilton yang memulakan perlumbaan di petak kedua pula gagal memanfaatkan kelebihannya itu apabila sekadar menduduki tempat ketujuh. Sementara juara dunia tujuh kali, Michael Schumacher dari pasukan Mercedes GP Petronas turut gagal memberikan impak dengan hanya menduduki tempat kesembilan.
Sumber: Harian Metro Online
No comments:
Post a Comment